Sejarah


Sejarah

Permainan bola tampar mula diperkenalkan pada tahun 1895 di Giminasium Y.M.C.A, Springfields, Massachusettes, Amerika Syarikat oleh Prof Wiliam J. Morgan (1870- 1942) sebagai suatu permainan rekreasi. Asal usul bola tampar telah mencetuskan perdebatan yang hangat. Walaupun asal usulnya tidak jelas, adalah dipercayai bahawa permainan yang hampir sama dengan bola tampar telah dimainkan beberapa ratus tahun dahulu di Amerika Tengah dan Selatan serta di Asia Tenggara. Howard Keith (1942) di dalam bukunya Sports and Games telah melaporkan bahawa bola tampar di Amerika telah diubahsuai daripada Fraust Ball yang diperkenalkan di Jerman pada tahun 1893. Begitu juga dengan permainan Minton yang dibawa ke Amerika oleh David McConnaughly Jr. pada tahun 1895. Keduadua jenis permainan tersebut mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan bola tampar Morgan.
Pada peringkat mula, bola keranjang dipukul dengan tangan supaya ia sentiasa di udara. Kemudian jaring diletakkan di tengah dan beberapa peraturan diwujudkan. Jaring ditinggikan kepada tujuh kaki namun bermain dengan bola keranjang telah menyebabkan tangan pemain menjadi sakit kerana menahan beratnya. Morgan seterusnya telah meminta pertolongan syarikat Spalding untuk mencipta bola baharu yang dihasilkan dengan menggunakan kulit anak lembu. Sejak itu, permainan ini terus diminati dan diterima oleh Mesyuarat Pengarah Fizikal. Pada mulanya, bola tampar dikenali dengan nama Mintonette dan diubah kepada Volleyball oleh Prof H. T. Halstead pada tahun 1896.
Populariti bola tampar bermula pada tahun 1900 apabila Kanada menjadi negara pertama menerimanya dan kemudiannya diperkenalkan ke India pada tahun yang sama. Sukan bola Tampar terus berkembang apabila ia diperkenalkan ke Cuba (1905), China (1906), Jepun (1908), Puerto Rico(1909) dan Filipina (1910) sebelum ianya diperkenalkan ke Eropah.




Sejarah perkembangan bola tampar di Malaysia

Pada awal tahun 1930-an, pasukan bola tampar dari universiti Hong Kong dan China telah melawat ke Tanah Melayu untuk mengadakan perlawanan persahabatan di bandar-bandar yang besar seperti Singapura, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Pada ketika itu, perlawanan bola tampar dianjurkan oleh Persatuan Olahraga Cina (Chinese Athletics Association) mengikut negeri masing-masing. Federation of Malaya Amateur Volleyball Association (kini dikenali sebagai Persatuan Bola Tampar Malaysia - MAVA) telah didaftarkan pada 9 Julai 1959 dengan nombor pendaftaran 1002 di Pulau Pinang. MAVA menjadi ahli gabungan kepada Majlis Olimpik Malaysia (OCM) dan persekutuan bola tampar antarabangsa (Federation Internationale de Volleyball – FIVB) pada tahun 1962.
MAVA terus memainkan peranan terhadap perkembangan sukan bola tampar dengan penaja 4 Kejohanan Bola Tampar Kebangsaan dari 1960 hingga 1963 yang dianjurkan oleh negeri Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Pahang. Ketika itu, sistem 9 orang pemain sebelah masih digunakan. Mulai tahun 1965, MAVA telah memperkenalkan sistem 6 pemain sebelah mengikut sistem antarabangsa pada kejohanan kebangsaan yang pertama berlangsung di Singapura. Acara wanita hanya diperkenalkan dalam tahun 1966.
Dalam tahun 1990-an, banyak program pembangunan dan pertandingan peringkat antarabangsa telah dilancar dan dikelolakan dengan jayanya oleh MAVA. Antaranya adalah seperti bola tampar mini bawah12 tahun, pertandingan bawah 15 tahun, bola tampar pantai, liga bola tampar Semi-Pro, Remaja SEA, Remaja Wanita Asia, Grand Prix Dunia Wanita dan Remaja Lelaki Sedunia. Pada masa ini, MAVA mempunyai 17 ahli gabungan penuh daripada semua negeri di Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan, PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia, manakala Bomba Malaysia dan Majlis Bandaraya Shah Alam sebagai ahli bersekutu.
Bola Tampar Mini diasaskan oleh Dr. Horst Baacke di Jerman pada tahun 1960-an. Pada tahun 1990, permainan bola tampar mini telah mula diperkenalkan di Malaysia, dan MAVA telah menganjurkan Kejohanan Bola Tampar Mini Kebangsaan. Mulai tahun 1993, Kejohanan Bola Tampar Mini telah diambil alih oleh MSSM. Kejohanan tersebut telah berlangsung bersama-sama dengan kejohanan bawah 18 tahun di Sintok (UUM), kedah.

No comments:

Post a Comment